Monday, August 12, 2013

Gaji Lumayan Akauntan Bertauliah

BESUT- Kerjaya sebagai akauntan bertauliah boleh menjanjikan masa depan cerah kerana bakal memperoleh pendapatan tinggi mengatasi kerjas lain.

Naib Presiden Institut Perakaunan Malaysia (MIA), Abdul Rahim Abdul Hamid berkata, dalam kalangan Ketua Pegawai Eksekutif atau akauntan bertauliah di negara ini sekarang, ada yang berpendapatan mencecah sehingga RM5 juta setahun atau RM500,000 sebulan.

Menurutnya, lebih ramai yang menerima pendapatan atau gaji bulanan sekitar RM100,000 sebulan dan ada di kalangan mereka dari golongan Bumiputera.

Bagaimanapun kata beliau, bilangan orang Melayu yang mengambil jurusan perakuan dan menjadi akauntan bertauliah masih rendah berbanding kaum lain.

“Kita ada seramai kira-kira 30,000 orang akauntan, tetapi daripada jumlah itu tidak sampai 7,000 akauntan Melayu yang bertauliah atau meneruskan kerjaya dalam bidang perakaunan, sedangkan bidang ini mempunyai masa depan cerah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Persidangan Pelajar Akaun anjuran MIA yang dikendalikan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Bukit Keluang Beach Resort di sini.

Persidangan membabitkan hampir 300 penuntut perakaunan dari 14 institusi pengajian tinggi awam dan swasta dirasmikan Timbalan Naib Canselor UMT, Prof Dr Yahya Ibrahim mewakili Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Abdul Rahim berkata, penyertaan kaum lelaki dalam bidang ini juga jauh lebih rendah berbanding wanita, iaitu nisbah 60 peratus wanita dan 40 peratus lelaki, sedangkan kerjaya sebagai seorang akauntan menuntut pengorbanan masa yang lebih.

“Sebab itu ramai lulusan perakaunan tidak memilih bidang ini sebagai kerjaya mereka, sebaliknya memilih pekerjaan lain di sektor swasta atau kerajaan selain ada yang bekerja dalam bidang ini separuh jalan,” katanya.

Wartawan Sinar Harian
11 November 2012

No comments:

Post a Comment